Safa adalah sebuah bukit kecil yang berada lebih kurang 130 meter di bahagian selatan (agak ke kiri) dari Masjiddilharam. Sebuah kubah telah didirikan di atasnya sekarang. Di bukit safa ini adalah tempat yang disyariatkan sebagai permulaan sai. Di dalam Al-Quran telah disebutkan Firman Allah:
ٳِنَ ٱلصَّفَا وَٱلۡمَرۡوَةَ مِن شَعَآ بِرِٱللَهِۖ
Ertinya;” Sesungguhnya Safa dan Marwah dalah sebahagian daripada syair Allah.”
Bukit ini menjadi saksi kepada banyak peristiwa penting yang berlaku sepanjang lipatan sejarah. Antaranya ialah:
Dakwah rasulullah di atas Bukit Safa
- Peristiwa kaum Quraisy meminta Bukit Safa dijadikan emas
- Kisah Abu Jahal menyakiti Rasulullah di Bukit Safa
- Peristiwa sewaktu pembukaan Makkah
- Tempat keluarnya dabbah (binatang) dari bumi
Dakwah Rasulullah di Bukit Safa
Rasulullah naik atas bukit ini dan menyeru orang ramai. Setelah kaum Quraisy berkumpul, baginda telah menyeru mereka supaya beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mengingatkan mereka akan azab neraka.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas yang menceritakan tatkala turunnya ayat ke 214 dari surah al-Syu’ara iaitu:
وَٲَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡاٴَقۡرَبِينَ٢١٤
Ertinya: ‘Dan berilah peringatan kepada kaum kerabatmu yang terdekat.”
Diatas bukit itu Rasulullah telah berseru iaitu:
‘Wahai Bani Fihr! Wahai Bani Adi!” (daripada suku kaum Quraisy) sehingga mereka berkumpul. Sehinggakan jika ada yang tidak mampu hadir dia akan menghantar wakil untuk memastikan apa yang berlaku, dan yang hadir itu termasuk Abu Lahab dan ketua Quraisy yang lain.
Lalu nabi berkata, “Apa pandangan kamu semua, sekiranya aku memberitahu kepada kamu bahawa ada tentera di lembah ini yang akan menyerang kamu. Adakah kamu semua akan mempercayainya?” mereka menjawab, “Kami tidak pernah mengenalimu kecuali sebagai seorang yang jujur.” Maka Nabi pun membalas kembali, “sesungguhnya aku ini ialah seorang yang ditugaskan untuk memberi peringatan kepada kamu tentang azab yang pedih.”
Kemudian. Abu Lahab berkata, “Celakalah kamu! Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami? Setelah itu, turunlah ayat:
تَبَّتۡ يَدَآ ٲَبِى لَهَبٍ وَتَبَّ١ مَآٲَغۡنَۍٰ غَنۡهۥُ مَالُهُ, وَمَا كَسَبَ٢ سَيَصۡلَۍٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ٣ وَٱمۡرَٲَتُهُ, حَمَّالَةَ ٱلحَطَبِ٤ فِى جِيدِهَاحَبۡلۥۥۥۥۥ مِّن مَّسَدِۭ٥
Maksudnya: “Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidak akan memberi faedah kepadanya harta benda dan apa yang diusahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelora. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu api yang di lehernya ada tali daripada api.” (surah al-Masad 111:1-5)
Quraisy meminta Bukit safa dijadikan emas
Daripada Ibn Abbas berkata maksudnya:
“Orang-orang Quraisy datang kepada Rasulullah dan berkata “mohonlah kepada Tuhanmu agar bukit Safa ini dijadikan sebagai bukit emas bagi kami, maka kami akan beriman selepas itu.”
Rasulullah menegaskan “Adakah benar kamu akan melakukannya? Lalu mereka menjawab, “ya”
Ibn Abbas berkata lagi, “Setelah itu Rasulullah berdoa. Kemudian malaikat Jibril datang sambil berkata, “Sesungguhnya Tuhanmu memberi salam kepadamu dan berfirman, ‘Jika engkau mahu, nescaya akan dijadikan Bukit Safa itu emas buat mereka. Dan sesiapa yang ingkar selepas itu, maka aku akan menyeksa mereka dengan azab yang belum pernah aku timpakan kepada seluruh alam ini. dan jika engkau kehendaki nescaya aku akan bukakan pintu taubat dan rahmat bagi mereka. “lalu Rasulullah menjawab aku ingin agar dibukakan pintu taubat dan rahmat.”
Ada riwayat menyatakan, pada ketika itu turunlah ayat dari surah al-Isra:
وَمَا مَنَعَنَآ ٲَن نُّرۡسِلَ بِٱلۡاٴَيٰتِ ٳِلَّاَ ٲَن كَذَّبَ بِہَا ٱلۡٲَوَّلُوۚنَ
Ertinya: “Dan tidak ada yang dapat menghalang kami daripada mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan kami). Melainkan tanda-tanda itu telah didustai oleh orang-orang terdahulu.”
(surah al-Isra’ :59)
Abu Jahal menyakiti Rasulullah di Bukit Safa
Suatu hari sedang Rasulullah berada di safa, Abu Jahal datang lalu menyakiti, mencerca serta memukul kepala Baginda dengan batu sehingga luka dan berdarah.
Seterusnya, apabila Hamzah bin Abdul Muthalib (bapa saudara Rasulullah) mengetahui hal ini, beliau terus mencari Abu Jahal yang ketika itu berada di Nadi (kelab) Quraisy yang berhampiran dengan kaabah . Katanya, “Kamu sanggup memburukkan anak saudaraku sedangkan aku berada dalam agamanya? “Lalu beliau memukul Abu Jahal dengan busur panahnya sehingga luka parah. Kemudian beliau memeluk Islam bersama Rasulullah.
Bukit Safa menyaksikan beberapa peristiwa sewaktu pembukaan Makkah
Di Bukit Safa telah menjadi tempat pertemuan diantara pemimpin tentera selepas menawan kota Makkah. Rasulullah telah bersabda kepada Khalid bin al-walid bahawasanya tempat pertemuan di Safa.
Setelah melakukan tawaf, Rasulullah telah naik ke atas Bukit Safa dan baginda menghadap ke arah Kaabah, memuji dan memuja Allah serta berdoa kepadanya.
Rasulullah mengisytiharkan keamanan kepada penduduk Makkah di atas Bukit Safa dengan Sabdanya yang bermaksud:
“Sesiapa yang memasuki rumah Abu Sufyan maka dia akan mendapat keamanan, sesiapa yang meninggalkan senjatanya maka dia akan mendapat keamanan dan sesiapa yang memasuki rumahnya dan menutup pintu maka dia akan mendapat keamanan.”
Bukit Safa juga menyaksikan bahawa orang yang pernah menyakiti Rasulullah dan mengeluarkannya dari Makkah telah berkumpul di sekeliling baginda untuk memberi baiah janji setia serta beriman kepada Allah.
Kaum lelaki datang terlebih dahulu dan berbaiah untuk beriman serta taat setia dalam semua perkara yang mereka mampu laksanakan. Kemudian sekumpulan kaum wanita datang untuk turut berbaiah. Rasulullah menyambut kedatangan mereka dan Umar mengajar mereka tentang Islam.
Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan juga datang bersama kumpulan tersebut. Dia menyamar diri kerana takut Rasulullah akan mengenali serta menghukumnya kerana perbuatannya terhadap mayat Hamzah bin Abdul Muthalib yang berlaku ketika peperangan Uhud.
Ketika diajar bahawa mereka hendaklah tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun. Lalu Hindun mencelah, “Aku tahu, kalua allah memiliki sekutu selain daripada-Nya, maka dia akan membela kita.” Kemudian diajar bahawa mereka ditegah daripada mencuri. Hindun mencelah lagi, “Adakah seorang yang bebas (mereka) akan mencuri?” Beliau juga memberitahu bahawa suaminya (Abu Sufyan) ialah seorang yang kedekut, lalu dia mengambil hartanya (untuk perbelanjaan). Abu Sufyan terus bangun dan mengumumkan bahawa semua harta yang diambil oleh isterinya telah dihalalkan olehnya. Rasulullah pun mengenalinya dan tersenyum.
Lalu Hindun memohon keampunan daripada Rasulullah agar memaafkan segala kesalahan silamnya. Nabi pun mengatakan bahawasanya Allah telah memaafkan kesalahannya.
Seterusnya mereka diajarkan agar tidak berzina. Hindun terus menjawab, “Adakah orang yang bebas (merdeka) akan berzina?” Diajar juga tidak membunuh anak-anak mereka. Hindun menjawab lagi, “kami memelihara anak-anak kamu sehingga besar, sedangkan kamu pula yang membunuhnya.” (Anaknya Hanzalan bin Abu Sufyan, dibunuh oleh tentera Islam semasa peperangan Badar).
Mendengarkan hal itu, Umar tertawa sehingga terduduk. Manakala Rasulullah tersenyum. Seterusnya, merek juga diajarkan supaya tidak menyebarkan fitnah dan berita palsu. Hindun yang suka menyampuk itu teus menjawab. “Demi Allah, sesungguhnya menyebarkan fitnah itu adalah sesuatu yang buruk, dan engkau tidak mengajar kami melainkan perkara yang baik serta akhlak yang mulia.” Akhirnya ketika diajarkan agar mereka tidak mengingkari kebaikan barulah Hindun menjawab, “Demi bapa dan ibuku ajaran yang engkau bawa ini adalah sangat baik dan mulia.”
Tempat keluarnya dabbah (binatang) dari bumi.
Antara tanda-tanda kiamat yang hampir ialah keluarnya dabbah (binatang besar) dari bumi, sepertimana firman Allah yang
Ertinya: “Dan apabila telah tetap perkataan ke atas mereka, kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin dengan ayat-ayat kami.” (surah al-Naml :82)
Juga sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Bersegeralah bekerja (beramal soleh) sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari sebelah barat, ad-dukhan (asap). Dajal, dabbah …”
Terdapat perbezaan pendapat tentang di manakah tempat keluarnya dabbah. Ada ulama yang mengatakan bahawa dabbah keluar dari Bukit Safa, ada yang mengatakan ia akan keluar dari Bukit Abu Qubais, juga ada yang berpendapat bahawa dabbah akan keluar dari masjid yang paling besar, agung dan mulia. Tiga tempat ini boleh dikira berasal dari satu tempat. Bukit Safa berada di pinggir Bukit abi Qubais dan berada di masjid yang paling besar iaitu Masjidilharam.
Ada yang berpendapat mengatakan bahawa dabbah akan keluar dari Marwah atau dari Ajyad serta beberapa tempat lagi, wallahua’lam.”